Kunjungan Hormat Selesaikan Aduan Pelajar

Oleh: Nooralisa Basiron

Nilai – Kunjungan hormat MPP ke semua jabatan unit gerakan USIM bagi membincangkan aduan pelajar secara mendalam bersama pihak berwajib adalah untuk membantu mengatasi kekurangan dalam perkhidmatan yang disediakan.

“Tujuan kunjungan hormat adalah untuk mendapatkan maklumat dari pihak berwajib mengenai aduan pelajar dan kami telah sampaikan pada pelajar ketika majlis ramah mesra bersama MPP di setiap kolej kediaman.” Jelas Sumaiyah Al Muniroh Timbalan Setiausaha MPP.

Hasil pertemuan MPP bersama Pemangku Timbalan Naib Canselor Akedemik dan Antarabangsa Prof. Dr. Bachok M. Taib memberi respon dan cadangan untuk menaiktaraf internet LAN dalam kampus bagi kemudahan pelajar. Sekiranya terdapat laman web yang tidak dapat dibuka, mereka boleh usulkan cadangan kepada pihak yang dipertanggungjawabkan.

Senat memutuskan bahawa subjek yang lebih kurang sama hendaklah disatukan dan segala urusan dan tindakan hendaklah dilakukan segera oleh fakulti dan dekan . Pemindahan kredit mata pelajaran hanya boleh dibuat sekiranya kolej berkenaan memohon keserataan subjek kepada USIM.

Ketua Pustakawan, Jasmin Jaimon dan pegawainya menyatakan perpustakaan USIM terdapat 54000 naskhah buku, hanya FPQS menghantar tesis ke perpustakaan sebagai rujukan. Pihak perpustakaan juga mengalu-alukan kepada sesiapa mahu mewakafkan buku, pihak perpustakaan akan nilai dan surat penghargaan akan diberikan. Jabatan perpustakaan menunggu cadangan fakulti, dekan dan pensyarah bagi penambahan buku-buku rujukan yang berkualiti.

Jabatan bendahari menegaskan, sekiranya berlaku kesilapan pada penyata akaun pelajar, sila maklumkan kepada bendahari untuk proses kemaskini data. Rungutan pelajar menggunakan wang saku sebagai wang pendahuluan program pula merupakan kegagalan pelajar sendiri menghantar kertas kerja sebulan sebelum program dijalankan.

 

 

 

Search site

© 2010 All rights reserved.