Permata Insan Lahirkan Ilmuan Islam Terbilang

Oleh: Asniah Abdullah

Nilai- Y. A. Bhg. Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Permata Insan Negara melancarkan program Permata Insan di Dewan Kuliah Pusat 3 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 12 Mac 2010 baru-baru ini.

Permata Insan yang merupakan kesinambungan dari Permata Pintar yang merupakan naungan di bawah Permata Negara tersebut bertujuan melahirkan ilmuan dan golongan pemikir Islam yang agung berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Program ini merupakan kerjasama di antara USIM dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam usaha membimbing golongan kanak-kanak pintar untuk menguasai ilmu agama dan keduniaan serta menghasilkan bakal ilmuan dan pemikir islam yang agung berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Program ini melibatkan kanak-kanak yang berusia lapan tahun hingga 18 tahun.

Datin Seri Rosmah berkata, generasi pendukung negara masa depan hendaklah bukan saja menghafal Al-Quran tetapi lebih utama, mampu melihat kitab suci itu sebagai sumber ilmu yang agung dalam pelbagai bidang termasuk sains, biologi, fizik, matematik dan sains kemanusiaan.

“Program ini adalah satu usaha untuk mencungkil anak-anak kita yang berusia lapan tahun sehingga sebelas tahun yang cemerlang agar mereka dapat dikenalpasti bakat dan kecenderungan mereka,” tambah beliau lagi.

Pemilihan pelajar dalam program ini, terbuka kepada seluruh pelajar-pelajar pintar di Sekolah Rendah Islam, Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat dan Swasta Serta individu pelajar yang berminat. Pelajar – pelajar pintar ini akan melalui proses saringan Ujian Kecerdasan–UKM 1 yang sedang berlangsung antara bulan Mac-Mei. Setelah melepasi tahap itu, mereka akan melalui Saringan USIM 1 bagi menguji kepintaran dalam bidang pengajian agama.

Ujian kecerdasan minda kanakkanak dengan kerjasama UKM, bertujuan untuk membantu ibubapa mengetahui tahap pencapaian anak mereka dari segi pembangunan mental dan fizikal.

Pusat Permata Insan USIM telah mengadakan beberapa aktiviti antaranya adalah diskusi intelektual yang diadakan pada awal November 2009 yang bertujuan menyumbangkan pendapat bagi menyempurnakan Program Permata Insan USIM. Selain itu Jawatankuasa Program Permata Insan akan mengadakan sesi lawatan dalam dan luar negeri bagi usaha membina kerjasama.

Menurut Nor Azzah, ibu kepada salah seorang pelajar yang terpilih, dia berharap agar anaknya dapat menjalani proses-proses menjadi muslimah yang terbaik disamping tidak mengabaikan tanggungjawabnya dalam kehidupan.

“Saya berasa gembira terpilih untuk program ini dan beruntung kerana tidak semua pelajar dapat menyertai program ini” jelas Syifa, peserta Permata Insan.

Program ini berharap dapat melahirkan bakal pelajar yang berorientasikan Al-Quran yang mampu membangunkan tradisi keilmuan Islam yang terbilang sesuai dengan persekitaran dan teknologi terkini. Disamping itu, pelajar Permata Insan ini mampu menjadi ilmuan agama, tenaga professional, teknokrat dan sains yang memahami, menghayati dan mengaplikasikan Al-Quran sebagai panduan hidup.

Search site

© 2010 All rights reserved.