Usah Tertipu Bisikan Syaitan

Oleh: Norzira Syarini Binti Mohammed Pauzi

Tidak dapat dibayangkan betapa sedihnya jika cinta ditolak, ketaatan dipersoalkan, kesetiaan diragui.

Seseorang akan merana dan mungkin boleh menjadi gila apabila kekasih hati tidak menerima ketulusan cintanya.   

Bagaimana pula keadaan seorang yang menghadap Allah SWT dengan keyakinan bahawa Allah menerima cinta dan ketaatannya, tetapi rupanya ia ditolak? Dia membawa banyak amalan yang berat timbangannya di akhirat dan ketika tiba masa perhitungan, semua kebaikan itu lenyap tidak berbekas sedikit pun. Nuzubillah. Namun hakikatnya semua ini berlaku dalam kehidupan kita.   

Ada beberapa sebab manusia tertipu oleh amalannya sendiri, antaranya apabila sesorang itu senang melupakan dosa yang dilakukan dan suka menyebut amal kebaikan. Kita susah sungguh untuk mengakui jika kita berdosa kepada Allah, apatah lagi kepada sesama manusia, ayah dan ibu, suami atau isteri, anak dan sesiapa yang berada di sekeliling kita. Biasanya ada banyak alasan untuk menutupi dosa supaya terlihat seolaholah perbuatan itu bukan suatu dosa.

Biasanya, orang yang tidak dapat menghidu kebusukan dosa dan keburukan hatinya tidak merasai kesakitan menelan jarum kejahatan.

Ini berpunca daripada diri yang terlalu yakin dengan kehebatan ibadat yang dilakukan.Cubalah hidu dosa yang kecil jika kita sudah menjaga diri daripada dosa besar. Bukankah yang besar bermula daripada yang kecil?

Telah banyak pertumpahan darah berlaku berpunca daripada umpatan dan fitnah lidah yang dilakukan segelintir manusia di tepi jalan atau di kedai kopi, hinggalah kini merebak di alam siber.

Perumpamaan dosa kecil itu bagaikan kayu api yang bertimbun, akhirnya ia membakar diri.  

Dalam hal dunia, kita boleh menemukan beberapa sifat orang kaya. Ada yang dalam kategori orang kaya baru, mungkin belum mampu bersabar menerima ujian hartanya sehingga ada sisa ujub dan takbur yang melekat pada peribadinya.   

Entahlah sampai bila orang ini boleh dimasukkan dalam kumpulan orang kaya lama yang lebih matang dan oleh mengawal nafsunya untuk bermegah.Hakikatnya tidak salah apabila semangat untuk menjadi kaya raya itu berkobar-kobar dalam hati, bukankah Othman bin ‘Affan menyerahkan beratus unta dengan muatannya sekali yang berupa makanan asasi kepada rakyat miskin ketika berlaku musim kemarau di Madinah. Dunia itu syurga bagi orang mukmin jika diperoleh dengan iman dan dibelanjakan dengan takwa.

Search site

© 2010 All rights reserved.