Editor's Column

PENA EDITOR

Bismillahirrahmanirrahim

A s s a l a m u a l a i k u m warahmatullahiwabarakatuh

Alhamdulillah, USIM TODAY/ ALYAUM edisi ke-12 berjaya diterbitkan. Dalam kesibukan warga kerja USIM TODAY/ ALYAUM menyelesaikan tugasan lain dan membuat persediaan peperiksaan dapatlah edisi ke-12 ini diterbitkan.

Ini juga bermakna sesi semester 2 2009/2010 hampir menutup tirainya. Pada waktu ini, sudah tentu mahasiswa dan mahasiswi sedang berusaha keras menghadapi peperiksaan akhir semester pada pertengahan April ini.

Pada kesempatan ini, saya mewakili rakan sekerja USIM TODAY/ALYAUM ingin mengucapkan selamat menjalani peperiksaan buat semua pembaca akhbar ini. Semoga peperiksaan kali ini akan menjadi lapangan terbaik untuk pelajar USIM menggapai kejayaan cemerlang dalam mengejar cita-cita selepas bergelar graduan pada masa akan datang.

Buatlah yang terbaik untuk diri kita. Jadikan keputusan peperiksaan yang akan datang lebih baik daripada sebelumnya. Berusaha itu merupakan tangga kejayaan seseorang. Ini kerana kejayaan itulah yang membawa kita kepada kebahagiaan hidup di masa akan datang. Ingatlah juga sebelum mendapat kesenangan pasti kita akan menghadapi atau mengharungi segala cabaran dan dugaan yang mendatang. Diharap kepada semua pelajar tabah dan sabar menghadapi semuanya.

Di sini, ada satu coretan ‘memburu kejayaan tidak seperti menjamu selera di kedai makan, makan dahulu bayar kemudian. Memburu kejayaan umpama menanam pokok buah-buahan. Tanam, jaga dan nikmati hasilnya kemudian.’

Ungkapan ini menunjukkan bahawa, ada masanya kita terlalu tidak sabar untuk mengecap kejayaan. Hari ini kita belajar, esok lusa kita sudah mahu berjaya dengan cemerlang. Ada yang lebih malang lagi, mahu berjaya dahulu dengan cemerlang baru mahu ada semangat untuk berusaha.

Dengan ini, saya berharap semua pelajar USIM bersama samalah kita mengharungi perjalanan yang masih jauh untuk mencapai kejayaan dan kesenangan hidup.

Sebelum mengakhiri kata-kata, saya sebagai ketua editor ingin memohon maaf seandainya mengalami sebarang kesilapan atau kekurangan di dalam USIM TODAY/ ALYAUM edisi ke-12 ini.

 Sekian, Wassalam.

Search site

© 2010 All rights reserved.