Warga USIM Prihatin

Oleh: Nooralisa Basiron

Nilai - Majlis penyerahan wang kutipan derma kilat kepada Nor Amalina Che Yusof telah diadakan di Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Bangunan Canselori Isnin lalu.   

Hasil kutipan derma kilat yang dilancarkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2009/2010 telah diserahkan sendiri oleh Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah sambil disaksikan oleh beberapa pegawai dan wakil MPP, termasuk Yang Dipertua, saudara Muhammad Hilmi Juhari.

Nor Amalina siswi Tahun Dua Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-undang, merupakan mangsa kebakaran di Bachok, Kelantan pada 31 Disember 2009 yang lalu.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Asin Dollah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, katanya mungkin kita tidak dapat menyelesaikan kesemua masalah tetapi kita akan berusaha membantu sekadar kita mampu.

Dalam majlis tersebut, beliau menceritakan punca kejadian kepada beberapa pegawai yang hadir. Exco Kebajikan dan Khidmat Komuniti, Nur Zeta Zahari yang menemani beliau dalam majlis itu turut memberi penerangan ringkas kepada pihak pegawai tentang laporan dan perkembangan mengenai derma kilat tersebut.

Nur Zeta Zahari, Exco kebajikan dan khidmat komuniti MPP berkata “ Masalah sebegini jangan dipendam sendiri, harus diluahkan, kami bersedia membantu selagi kami mampu. Masalah anda masalah bersama, kutipan derma seperti ini bukan hanya untuk pelajar tetapi untuk semua warga USIM.”

“ Saya berasa terharu kerana kawan-kawan bersungguh-sunguh mahu membantu untuk megusulkan masalah saya kepada yang sepatutnya seperti Organisasi Fiqh Fatwa dan MPP. Terima kasih saya ucapkan kepada Dato’ Asin dan semua yang terlibat serta yang ikhlas menderma untuk membantu meringankan bebanan saya. Hanya Allah mampu membalas jasa baik dan keikhlasan mereka.” kata Nor Amalina, 24, FSU.

Setiap musibah pasti ada hikmahnya, saling mengambil berat dan membantu adalah tanggungjawab bersama sebagai seorang khalifah di bumi maka benarlah hadis Nabi yang bermaksud sesungguhnya orangorang mukmin itu bersaudara.

Dalam perkembangan lain, MPP kini sedang membantu beberapa mahasiswa termasuk di Pandan yang terlibat dalam kemalangan dan sedang meneliti laporan untuk persediaan skim kebajikan kepada mangsa terbabit.

Search site

© 2010 All rights reserved.