Dongeng Si Capik

20/04/2010 02:15

 Oleh: Siti Rohani, Siti Hazita

Pada zaman dahulu terdapat sebuah pekan kecil yang sangat cantik terletak di kaki bukit. Pekan tersebut di kenali Hamelyn. Suasana pekan yang aman damai, kampungnya hijau dan permai. Di kampung inilah aku dilahirkan dan aku hidup tanpa kawan menemaniku. Aku si capik.

Sejak dilahirkan, aku hidup bersendirian tanpa ayah dan ibu. Hidupku sebatang kara dengan anggota kaki yang tidak sempurna seperti mereka yang lain. Ibuku sudah tiada di dunia semasa melahirkanku.

Manakala ayahku maut ditimpa malapetaka.

Kehidupan yang ku setiap hari amat sukar sekali. Aku sering bersendirian tanpa kawan-kawan untuk bermain dan mencari makanan. Makhlukmakhluk lain hanya tahu mengejek dan menghina aku. Sikap tabah dan tidak pernah putus asa membuatkan aku tidak ambil peduli dengan ejekan mereka.

Pada suatu petang, Aku berjalanjalan untuk mencari makanan. Semasa mencari-cari makanan aku terserempak dengan sekawan ayam. Aku pun terus menuju ke arah mereka dengan harapan dapat mencari makan bersama mereka. Tetapi malangnya perkara yang sama berlaku. Mereka tetap menjauhkan diri dan mengejek aku. Perasaan sedih pun menyelebungi diri aku.

“ Hei si capik! kau buat apa di sini. Ini tempat kami cari makan, kau tak ada tempat lain ke? Kawasan ni kan lapang dan banyak lagi tempat yang boleh cari makanan,” kata Si Jalak. Si Jalak merupakan makhluk yang kuat dan besar dari yang lain. Aku berkata,”Salah ke aku bersama kamu semua untuk mencari makan. Aku juga seperti kamu ingin mencari makanan.” Serama pun berkata dengan bangganya, “Memang salah pun. Kau tu sudahlah capik, nak mengais makanan pun susah nanti menyusahkan kami saja. Sedarlah sikit kau tu siapa.”

Maka, aku pun pergi ke tempat lain untuk mencari makanan. Mereka pula berterusan mengejek diriku. Capik!Capik! jerit mereka semua.

Tiba-tiba, angin kencang telah melanda kampung tersebut. Maka huru-hara semua penduduk kampung tersebut. Rupa-rupanya, ada seekor burung garuda yang sangat besar datang ke kampung mereka. Sayapnya sahaja mampu menutup kampung tersebut. Penduduk kampung lari bertempiaran masuk ke dalam rumah. Mereka takut akan di makan oleh garuda ini. Hanya yang tinggal sekawan ayam sahaja.

Burung garuda tersebut hinggap di sebatang dahan pokok yang besar di kampung tersebut. Garuda itu pun berkata sambil melontarkan sebatang besi ke tanah, “ Wahai makhlukmakhluk Allah! Aku diperintahkan oleh Raja Indra, pemerintahmu supaya menyampaikan perintah ini dengan segera “Sesiapa yang sanggup mencucuk sebatang besi ini ke badannya akan mendapat ganjaran dari Raja Indra.” Berkata garuda itu.

Suasana menjadi begitu bising. Ayam-ayam ini memandang antara satu sama lain dan memberontak serta ada juga yang kehairanan mengapa mereka mesti berbuat demikian. Si Jalak pun bersuara, “ Apakah ganjaran yang kami akan dapat?” Garuda pun berkata, “ Ini semua Raja Indra yang tentukan.”

“ Ah! Kami tidak sanggup mencucukkan sebatang besi ke badan kami. Badan kami sudahlah kecil inikan pula nak bawa beban yang lain,” berkata Serama. “Setuju, setuju,” semua bersuara.

Dalam kekecohan itu, datanglah aku lalu berkata, “ Wahai garuda, aku terima perintahnya Raja Indra.Mungkin disebalik ini ada hikmahnya.” Si Jalak pun dengan rasa geram bersuara, “ Capik! kau kan capik, bukannya kau mampu nak bawa sebatang besi yang dicucuk ke badan kau nanti. Jalan kau je sudah lambat. Nanti membuatkan hati kami lagi sakit tengok kau. Menyusahkan betul kau ni !,”

“Tidak apalah Jalak,” aku pun pergi ke hadapan mengambil besi itu lalu mencucukkan besi tersebut ke badanku. Setelah itu, garuda pun berlalu pergi.

Hari demi hari, kehidupan aku semakin sukar untuk bergerak. Pergerakannya tidak seperti dulu. Ianya amatlah perlahan. Walaupun begitu, aku tetap meneruskan kehidupanku seperti biasa. Aku makin kuat dihina kerana kesukaranku membawa basi itu.

“Itulah kau capik, padan muka kau tengok macam mana diri kau makin susah nak bergerak ha..ha…” berkata jalak sambil ketawa. Aku tidak menghiraukan ejekan mereka dan terus berjalan sambil menanggung beban besi tersebut.

Pada pagi yang indah, sinaran matahari memancar terang di seluruh kampung. Aku bangun dari tidur dan mendapati badanku berubah, sayapku makin kuat, kuku ku makin tajam dan kuat. Maka terkejutlah aku dengan perubahan diriku ini.

Dari hari ke sehari banyak perubahan berlaku ke atas diriku, pada suatu hari aku bangun dari tidur dan merasakan badanku semakin kuat dari sebelumnya, aku mula mengibasgibas badanku dengan sayap yang gagah. Tiba-tiba aku merasa badanku sudah tiada besi yang ku bawa selama ini.

Dengan perasaan gembira dan seronok, aku mula berlari –lari lama – kelamaan aku berlari tanpa sedar, diriku boleh terbang mencapai awan. Kini tiada lagi si capik yang dahulu ini kerana diriku ini Si Capik sudah berubah menjadi helang yang kuat.

Pengajaran yang kita dapat dari cerita donggeng ini, dalam hidup kita jangan takut pada hinaan orang terhadap diri kita, jadikan ejekan sebagai pembakar semangat dalam kehidupan kita. Kita haruslah tabah dalam kehidupan walaupun terpaksa menanggung beban yang berat.Nilai murni yang dapat diteladani ialah jangan sekali putus asa dalam hidup.

Kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah, sepatutnya jadilah seorang yang tidak kalah pada erti putus asa dalam kehidupan kita.

Back

Search site

© 2010 All rights reserved.